Asyraf tak pertahan jawatan Ketua Pemuda Umno

Asyraf tak pertahan jawatan Ketua Pemuda Umno


ASYRAF menyampaikan ucapan pada Persidangan Sayap Pemuda UMNO. FOTO Asyraf Hamzah
ASYRAF menyampaikan ucapan pada Persidangan Sayap Pemuda UMNO. FOTO Asyraf Hamzah

Kuala Lumpur: Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya bagi mengambil tanggungjawab atas kekalahan Umno dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Katanya, ini bagi memberi peluang kepada generasi baharu untuk mengemudi sayap dengan idea segar dan baharu bagi mengembalikan kegemilangan parti keramat itu.

Beliau turut memohon maaf kerana gagal memimpin Pergerakan Pemuda Umno sepanjang tempoh lima tahun menjawat jawatan berkenaan.

"Saya sudah cuba terbaik untuk memastikan kita bangkit kembali dan saya meletakkan sepenuh pengorbanan jiwa raga kepada Umno sampaikan isteri dan anak-anak lama tak bercuti kerana hujung minggu memang tiada masa turun ke negeri dan bahagian.

"Tapi itu bukan perkiraan, paling penting kena lihat bagaimana nak bangkit semula. Sebab itulah saya ambil keputusan untuk tidak lagi mempertahankan jawatan saya," katanya semasa ucapan penangguhan sempena Perhimpunan Agung Umno 2022 (Pau 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, generasi Pergerakan Pemuda yang ada pada hari ini adalah generasi yang unik kerana melalui pelbagai cabaran sebagai pembangkang, kerajaan campuran dan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berharap generasi baharu dapat meneruskan perjuangan dengan ikhlas dan jujur serta mengharapkan reda Allah.

"Terima kasih daripada hati dan lubuk saya kepada semua sahabat. Semoga kalian diberikan rahmat dan reda Allah. Jangan sesekali putus asa, istiqomah dan tetapkan pendirian pertahankan parti walau apa jua keadaan. Kita tetap setia dengan parti keramat ini," katanya.

Disiarkan pada: Januari 12, 2023 @ 6:12pm
LihatTutupKomentar